Apakah perassan anda dengan pilihan raya di bagan pinang?

Wednesday, October 21, 2009

Beraninya Jin Notti

SELEPAS Cicakman, Duyung dan Cicakman 2: Planet Hitam, KRU Studios menerbitkan Jin Notti yang dibintangi penyanyi lelaki paling popular, Mawi dan deejay wanita paling popular tanah air, Fara Fauzana.Filem arahan Azahari Zain ini diterbitkan bersama penaja utama, Telekom Malaysia Berhad. Ia ditayangkan di 60 buah pawagam seluruh negara mulai 20 September lalu bersempena Hari Raya Aidil Fitri.


Penulis tidak pasti apakah Lembaga Penapis Filem akan meluluskan Jin Notti jika filem ini bukan dalam bentuk komedi. Jelas persembahan Jin Notti penuh dengan kritikan dan sindiran terhadap masyarakat, termasuk pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).
Tiada yang menarik dalam aspek pengarahan, lakonan, sinematografi dan muziknya. Bagaimanapun, Jin Notti boleh dianggap unik kerana persembahannya sesuai untuk kanak-kanak, sedangkan isu yang dibawanya relevan dengan orang dewasa.
Dalam gelak ketawa, Jin Notti menarik kerana turut menyelitkan kritikan dan sindiran yang
kadang-kadang begitu ketara. Kritikan dan sindiran tersebut terserlah dalam dialog dan komedi di sepanjang durasinya.
Penulis fikir barangkali Jin Notti tidak diharamkan kerana persembahannya dalam bentuk komedi meski pun agak lantang menyelar pemimpin kerajaan BN, sistem kehakiman serta budaya dan sikap masyarakat negara ini.
Terlalu banyak dialog sinis dan pedas dalam filem ini. Oleh itu, penulis tidak dapat mengingati kesemuanya untuk dipaparkan dalam tulisan ini. Antara yang diingati ialah ada watak menyebut 'key performance index indicator' atau KPI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Razak.
Yang pasti, Jin Notti agak berani menyelar sistem kehakiman negara – seperti yang semua sedia maklum - ada hakim yang boleh dibeli dan membebaskan anak guam yang sebenarnya bersalah.
Jin Notti turut menyindir fenomena di negara kita hari ini di mana mereka yang telah terbukti melakukan kesalahan jenayah terlepas, sedangkan yang tidak bersalah dihukum.
Antara yang mengejutkan ialah dalam dialog Jin Samsu (lakonan Bob Lokman) sewaktu menolak tawaran rasuah daripada VK Jinggam (Acappan). Penampilan watak Jinggam itu juga mengejutkan. Sesiapa yang memahami atau mengikuti perkembangan politik dan kehakiman negara, pasti tahu siapa VK Jinggam itu sebenarnya.
'Correct!' oleh VK Jinggam
Hakikat tersebut diperkuatkan lagi dengan pengulangan kalimah 'Correct!' oleh Jinggam setiap kali ditanya oleh Jin Samsu atau Sofia Jin!
Berdasarkan keberanian itu, Jin Notti sangat menarik dan membanggakan. Selepas Kembara... Seniman Jalanan arahan Nasir Jani pada tahun 1985, sukar sekali kita menemui filem tempatan yang 'daring' sebegini.
Selain Mawi, Fara Fauzana, Bob Lokman dan Acappan, Jin Notti turut dibintangi Cat Farish (Jinbara), Adibah Noor (Sofia Jin), Hafidzuddin Fadzli (Nesti), Adam Corrie Abdullah (Taiko), Sazzy Falak (Zulu), Sheila Mambo (ibu Zulu), Aziz M Osman (Hisham) dan Betty Benafe (peguam bela). Sementara penerbit filem prolifik, David Teo memegang watak Ketua Kongsi Gelap.
Jin Notti mengisahkan Notti (Fara Fauzana), seorang gadis jin yang sangat baik, lembut dan jujur berusia 117 tahun. Dia dijatuhi hukuman yang sangat berat, iaitu dikurung di dalam penjara All Alone oleh Majlis Penghakiman Jin yang diketuai Jin Samsu.
Notti dihantar turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan perkara nakal.
Dia memasuki tiga tubuh manusia yang mempunyai sifat yang berbeza, iaitu Ruby, gadis remaja punk yang berasal dari keluarga yang berpecah-belah, nakal dan liar; Yvonne, berbangsa Cina dan teman wanita Taiko yang menjalankan aktiviti menjual VCD cetak rompak, memeras ugut serta meminta wang perlindungan dan Sharifah, peguam canggih yang sering membela penjenayah.
Setiap kenakalan yang dilakukan oleh Notti harus melepasi skala kenakalan yang dikenakan pada pergelangan tangannya. Dia ditemani peguamnya, Jinbara sepanjang menjalani hukuman di dunia manusia sebagai penasihat untuk terus berkelakuan nakal.
Bagaimanapun, di sepanjang perjalanan hukumannya, Notti mulai jatuh cinta pada Aziz (Mawi), lelaki yang ditemui di tiga buah tempat yang berbeza.

Read more...

Bubar DUN, PR Perak sudah bersedia

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Pakatan Rakyat Perak tidak menolak kemungkinan desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan akan berlaku dalam masa terdekat.



Image Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu spekulasi yang sedang bertiup kencang di negeri itu sekarang ini ada asasnya.

Antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri dan keyakinan BN selepas menang pada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

"Kemungkinan besar akan berlaku. Ada beberapa asas untuk saya berkata begitu, antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri sekarang, contohnya GLC tidak berfungsi, masalah ketua kampung kena pecat dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi.

"selain itu, mereka juga sudah berkeyakinan diterima rakyat selepas menang di Bagan Pinang, dan yang paling akhir sokongan rakyat pada pelancaran 1Malaysia yang dilancar Datuk Seri Najib di sini baru baru ini."

Bersedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku, PAS negeri katanya sudah mula menggerakkan jentera mereka bagi memastikan kerajaan negeri Perak kembali kepada Pakatan Rakyat.

"Kita sudah bersedia lama, dan terbaru pada 17 Oktober baru-baru ini kami telah mengadakan taklimat kepada seluruh PAS kawasan sebagai persediaan berdepan pembubaran DUN," katanya.

ImageMengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng juga yakin BN akan membubarkan DUN perak berasakan kemenangan besar pada PRK Bagan Pinang.

Menurutnya jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.

"Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju DUN Perak dibubarkan," katanya ketika ditemui di parlimen pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Pantai Remis berkata, pakatan Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.

"Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-PKR memmbuatkan rakyat akan bersama kita," ujarnya.

Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang DUN pada tarikh sama 28 Oktober ini.

Kesemua ADUN pakatan mahupun BN telah menyatakan komitmen untuk hadir pada persidangan tersebut berdasarkan notis panggilan dari Speaker masing-masing. _

Read more...

Hari ini Nik Aziz 19 tahun mentadbir Kelantan

Hari ini, Rabu, 21 Oktober 2009 adalah ulang tahun ke-19 pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak. Sekaligus mengesahkan telah 19 tahun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Ia juga adalah ulang tahun ke-19 bagi pelaksanaan slogan Membangun Bersama Islam yang dijadikan panduan perancangan pembangunan negeri.

Ia satu slogan yang mendahulukan nilai-nilai ad-din di dalam memenuhi harapan rakyat. Ini juga bermakna, selama 19 tahun prinsip pentadbiran berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan telah dijadikan amalan oleh seluruh agensi kerajaan negeri Kelantan.

Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran sekaligus menobatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri.

Justeru itu, sempena mengingati ulang tahun ke-19, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menerajui kepimpinan ulamak mentadbir negeri Kelantan, semua laluan sejarah lepas sewajarnya dijadikan pengalaman, demi menyongsong kejayaan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Pengorbanan untuk generasi muda

Laluan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak menjawat Ketua Ulamak PAS Pusat dan kini selaku Mursyidul Am PAS amatlah terukir indah di setiap wajah rakyat Kelantan.

Image Ilmunya adalah cahaya, perwatakannya adalah idola dan sentuhan pentadbirannya adalah keberkatan untuk seluruh rakyat.

Justeru itu, ilmu agama yang ada di dadanya sentiasa dicurahkan kepada rakyat Kelantan menerusi kuliah pagi Jumaat, khutbah Jumaat dan ceramah yang segar serta tulisan yang tercetak.

Atas kapasiti keilmuan yang dicurahkan dan ratusan ribu rakyat menelaah ilmunya, layaklah rakyat menobatkan menteri besar yang mengemudi kepimpinan ulamak itu adalah seorang ulamak sebenar bergelar 'Tuan Guru'.

Kerana di sebalik itu, cukup ramai individu ulamak yang kaya ilmu agamanya, tetapi loket di dalam mencurahkan ilmunya untuk diraih oleh rakyat. Justeru itu, tidak mungkin ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama menteri besar Kelantan.

Sesungguhnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah 19 tahun bergelar 'Yang Amat Berhormat Tuan Guru Menteri Besar' yang sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat.

Inilah wajah kepimpinan ulamak yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan hari ini. Mudah-mudahan ilmu tuan guru bakal membina generasi muda masa kini untuk mencipta kejayaan masa depannya.

Berkat taburan ilmu itu, kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Daripada ilmu yang ditaburkan, Kelantan sudah menjadi negeri yang seiringan dengan negeri lain dari segi pembangunan fizikal dan rohani.

Meskipun, masih ada tohmahan dan cakap-cakap sinis kononnya Kelantan adalah negeri termundur dan ketinggalan dari segi pembangunan sosio-ekonomi, namun kualiti hidup rakyatnya sudah menjawab dengan tepat bahawa kesemua tohmahan itu adalah cakap politik yang berniat memburuk-buruk keupayaan kepimpinan ulamak sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menteri besar.

Justeru itu, kepimpinan ulamak era Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah menobatkan (establishment) 20 nilai pembangunan negeri Kelantan seperti mana berikut:

1. sifat cakna rakyat penuh berkebajikan,

2. bangunan pejabat dan gudang bertambah dan tersergam,

3. prasarana kesejahteraan awam tersirat kukuh,

4. ladang getah dan kelapa sawit luas menghijau,

5. sawah bendang menguning setiap musim,

6. hutan dan lurah sedia ditereskan,

7. kadar kemiskinan menjunam turun,

8. kuasa beli rakyat mampu menyara survival pasaraya,

9. pertambahan kenderaan bersimpang siur,

10. taman perumahan melebar ke serata negeri,

11. bandar lama dan baru makin berkembang,

12. kehadiran pelancong terus melonjak,

13. pesta, ekspo dan karnival terlaksana setiap tahun,

14. gaji kakitangan awam tidak pernah dikurang,

15. pendidikan Islam terbaik dan pelajar cemerlang terserlah setiap tahun

16. kolej, universiti dan sekolah bestari makin bertambah bilangan

17. kilang dan produknya terus beroperasi melonjak peluang ekonomi

18. perancangan pembangunan sentiasa berlaku

19. punca hasil baru terus diterokai

20. baki hutang kerajaan dahulu sudah terlunas. Kesemua nilai pembangunan dinyatakan di atas adalah ukuran mutlak bagi mengiktiraf betapa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan sosial sudah berlaku dan tidak terpinggir.

Oleh kerana itu, negeri Kelantan sepanjang 19 tahun di bawah kuasa politik PAS telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan. Di atas 20 establishment itu, amatlah tidak adil untuk meletakkan status pembangunan negeri Kelantan sebagai negeri mundur.

Maka, sempena ulang tahun ke-19 kepimpinan ulamak mengurus-tadbir kerajaan negeri Kelantan ini, diharapkan bersama-samalah kita dapat membuka mata dan telinga untuk menerima realiti, betapa negeri Kelantan hari ini adalah sebuah negeri yang sudah jauh maju setanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Read more...

'Belum ada keperluan saya masuk UMNO'


KUALA LUMPUR 21 Okt. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, belum terdapat sebarang keperluan untuk beliau menyertai semula UMNO dalam masa terdekat ini.
Menurutnya, terdapat beberapa sebab mengapa beliau mahu kekal sebagai wakil rakyat Bebas termasuk tidak mahu dituduh kembali menyertai parti itu kerana ia semakin kuat.
"Saya suka membuat penjelasan secara muktamad hari ini iaitu walaupun saya menyambut baik kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya berpendapat atas beberapa sebab, belum lagi ada keperluan bagi saya menghantar borang menyertai UMNO.
"Saya tidak mahu orang ramai membuat andaian saya menyertai UMNO kerana parti ini sekarang bertambah kuat, disebabkan kepentingan peribadi, mengejar pangkat atau pun dibeli mana-mana pihak," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu semalam bahawa parti berkenaan tidak pernah menyekat sesiapa yang berhasrat menyertainya termasuk Ibrahim.
Bagaimanapun, kata Muhyiddin, kemasukan itu masih tertakluk kepada prosedur, syarat serta peraturan terutama melibatkan permohonan daripada bekas ahli.
Menurut Ibrahim, sebab lain beliau tidak menyertai UMNO ialah kerana ingin menjaga kewibawaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajuinya supaya ia tidak dituduh menjadi alat pada mana-mana kumpulan.
Dalam pada itu, katanya, beliau kini cenderung untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan negara dan rakyat kerana parti itu sekarang bersikap lebih terbuka untuk dikritik berbanding Pas.
"Saya menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin. Saya suka dengan suasana UMNO sekarang di bawah pimpinan baru yang lebih terbuka dan boleh menerima apa jua kritikan.
"Kerjasama dengan Pas pula hanya ketika pilihan raya umum lalu. Saya tidak menjadi ahli parti itu kerana apabila saya memberi teguran dan kritikan yang saya rasa patut, nampaknya mereka tidak boleh terima sebaliknya mendesak supaya saya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat," ujarnya.
Mengenai kemungkinan beliau menyertai UMNO suatu masa nanti, beliau berkata, perkara itu akan dipertimbangkannya jika beliau melihat parti itu semakin lemah dan perlu dibantu.
"Apabila saya mendapat ilham dan saya kira sudah bersedia untuk menyertai mana-mana parti politik apatah lagi UMNO yang menjadi parti saya dahulu, maka saya akan buat keputusan.
"Mungkin dua bulan, enam bulan, setahun atau sampai kepada tempoh Dewan Rakyat yang ada sekarang ini dibubar untuk diadakan pilihan raya umum," kata Ibrahim yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.
Katanya, dengan kekal sebagai wakil rakyat Bebas, beliau boleh menjadi mata dan telinga rakyat dan akan memberi teguran membina jika terdapat kesilapan dilakukan kerajaan.
"Walaupun saya orang kecil, saya menganggap diri saya sebagai orang perjuangan. Saya boleh hidup di padang pasir dan di lautan luas. Saya yakin dengan semangat juang yang ada, saya boleh menghadapi cabaran-cabaran ini," ujarnya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin UMNO Kelantan, ujarnya, hubungan itu amat baik dan beliau bersedia membantu sekiranya diperlukan.
"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemimpin UMNO Kelantan kerana mereka juga rakan-rakan saya dulu. Apa yang boleh saya bantu saya akan bantu, apatah lagi untuk kebaikan rakyat Kelantan," katanya.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

My Blog List

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP