Apakah perassan anda dengan pilihan raya di bagan pinang?

Sunday, October 11, 2009

Tanda rakyat terima 1Malaysia


Muhyiddin Yassin bersama pemimpin Barisan Nasional gembira selepas SPR mengumumkan calon BN, Mohd. Isa Abd Samad memenangi kerusi DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, semalam.


PORT DICKSON 11 Okt. - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan majoriti 5,435 undi, iaitu peningkatan 110 peratus mencerminkan penerimaan rakyat terhadap gagasan baru kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dengan keputusan semua 18 saluran peti undi berpihak kepada calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, ramai pemimpin UMNO menyifatkan ia sebagai permulaan kepada detik kebangkitan semula kerajaan BN selepas mengalami 'tsunami politik' pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), Mac 2008.
Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kemenangan itu juga membuktikan sistem undi pos di kalangan anggota tentera berlangsung dalam sistem demokrasi yang utuh.
"Kalau selama ini pakatan pembangkang kata undi pos dimanipulasi, ia tidak benar kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Pertahanan di Port Dickson baru-baru ini melarang parti-parti memasuki kem-kem tentera yang dijadikan pusat undi pos.
"Hanya wakil-wakil calon dibenarkan memasuki serta melihat bagaimana undi pos dijalankan sementara kertas undi terus dibuka di hadapan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui sewaktu mengetuai misi kemanusiaan di Padang, Sumatera Barat malam ini.
Ahmad Zahid juga tidak menolak kemungkinan parti-parti pembangkang akan terus menggunakan isu undi pos termasuk tindakan undang-undang dalam siri pilihan raya akan datang demi kepentingan politik mereka.
Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, kemenangan Mohd. Isa dengan peningkatan majoriti undi lebih dua kali ganda merupakan isyarat jelas sokongan kepada BN kini telah berada pada landasan yang sebenar.
"Tiada pihak yang mampu menafikan penerimaan rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri dengan permulaannya telah dilakukan oleh pengundi di Bagan Pinang.
"Keputusan ini juga merupakan pengajaran kepada semua termasuk diri saya kerana akhirnya rekod perkhidmatan yang menjadi jatuh bangun seorang pemimpin walaupun diserang dengan pelbagai serangan peribadi," katanya mengulas kemenangan Mohd. Isa di sini malam ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula yakin kemenangan BN itu sebagai petanda baik bahawa rakyat telah mula sedar perubahan yang dilaksanakan oleh kepimpinan baru kerajaan.
Katanya, ia juga menjadi ukuran bahawa rakyat kini sedar yang pembangkang hanya pandai menabur janji kosong tetapi apabila diberi mandat memegang kuasa, semua janji tidak dilaksanakan.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan di Bagan Pinang merupakan terjemahan rakyat yang memberi kepercayaan penuh kepada pentadbiran Najib kerana dasar yang diketengahkan oleh Perdana Menteri memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.
"Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan adalah suatu dasar yang amat berkesan dan inilah yang ditunjukkan di Bagan Pinang.
"Corak berpolitik dengan menyerang peribadi, menabur fitnah dan berbohong jelas ditolak kerana pengundi terutamanya penduduk di Port Dickson hendak melihat bukti," jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shaziman Abu Mansor menyifatkan kemenangan Mohd. Isa sebagai kemenangan manis bagi BN kerana secara tidak langsung ia menjawab tuduhan pembangkang yang menyatakan kerajaan telah mula hilang pengaruh.
Menurutnya, keputusan yang dicapai hari ini jelas menunjukkan sokongan yang berlipat ganda dan menafikan tohmahan pembangkang.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

My Blog List

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP